8.28.2009

JARI DISUSUN, MOHON MAAF

SERIBU keamaafan dipinta kepada semua kerana tidak dapat menemui rakan-rakan dalam blog ini atas sebab-sebab tidak dapat dielakkan.
Tapi, sekarang dah ok, boleh kembali dah...

8.22.2009

SeLaMaT mEnYaMbUt rAmAdHaN


8.05.2009

INDUSTRI SUKAN: REALITI ATAU FANTASI?

BAHAGIAN 2

SUKAN jadi 1 industri, macam 1 MALAYSIA pulak...Tapi kalau kena pelaksanaannya, mungkin boleh jadi sesuatu yang dibanggakan. Cuma, bagaimana mekanismenya? Seperti kita ketahui, kalau nak buat bisness besar, kena ada duit manyak wooo...

Nak buka kedai minyak pun, rasanya tak ada RM500,000 sebagai modal dan cagaran dalam bank, jangan mimpi, jangan cakaplah. Memang ada macam-macam pinjaman, Tekun, Mara dan sebagainya tapi itu kenalah buka kedai kecik atau warung dulu sebab yang besar kena kasi orang ada duit.

Jadi bila sukan disebut industri, bunyinya besar. Entah siapa kaut untung? Di mana kedudukan atlet dan orang yang memperjuangkan sukan tetapi sampai sekarang, bukan kata hendak ceburi bisnes sukan, jemputan program berkaitan sukan pun tak dapat lagi?
Inilah perkara perlu diteliti. Rasanya, beri peluang kepada pejuang sukan seperti atlet untuk buat bisnes sukan. Ramai atlet-atlet negeri dan kebangsaan buat bisnes sukan walaupun kecil-kecilan dengan membuka kedai sukan.

Dari segi akademik, perhatian telah diberikan kepada atlet menerusi penubuhan dua sekolah sukan, di Bandar Penawar dan Bukit Jalil. Jadi, bagus juga kalau tumpu pula untuk bantu atlet ceburi atau kembangkan bisnes sukan, dapat hargai pengorbanan mereka selain amalan beri tanah selepas mereka mengharumkan nama negara.

Sebelum ni pun ada produk sukan dihasilkan tokoh sukan seperti jenama Sidek. Kalaulah bisnes seperti ini boleh diceburi tokoh-tokoh sukan atau atlet di negara ini menerusi bantuan pihak tertentu, rasanya matlamat sukan 1 industri boleh tercapai...Biar bermula kecil tapi berkembang besar.

Sebenarnya, banyak lagi boleh dilakukan untuk jadi serampang dua mata, selain titikberatkan kebajikan atlet, dapat jayakan sukan 1 industri. Contohnya, penubuhan koperasi untuk atlet merupakan antara yang boleh di ketengahkan.

Zonbebas pun rasa nak dijadikan jenama, nak tumpang semangkuk. Nak jual baju-t ke, topi ke cop zonbebas. Cuma, takut cetak baju-t 1,000 helai, kena pakai pun 1,000 helai sebab jual tak laku...Takut nyer!!!

7.30.2009

INDUSTRI SUKAN: REALITI ATAU FANTASI?

BAHAGIAN 1
SUKAN jadi industri...Sedap bunyinya dan indah kalau terlaksana. Syabas kepada Menteri Belia dan Sukan, DATUK AHMAD SHABERY CHEEK kerana mengutarakan idea ini, Kalau sebelum ni kita dengar Pertanian Adalah Perniagaan, kini Sukan Adalah Industri. Macammana tu... Mari kita lihat dari banyak sudut, mula-mula kita mimpi yang indah-indah dulu. Misalnya bola sepak:
YANG MENARIK
* Pasukan negeri dah jadi macam Manchester United (MU), Chelsea dan pelbagai kelab dalam Liga Perdana England (EPL).
* Produk-produk kelab seperti baju, seluar atau beg dijual kepada peminat.
* Akademi kelab mengeluarkan produk pemain untuk dijual kepada kelab lain, mungkin juga ke luar negara.
Kalau semua ni berhasil, untung banyak tu...
YANG TAK MENARIK
* Dah pernah dulu pasukan negeri diberi kepada syarikat untuk uruskan, hasilnya lingkup.
* Pernah penganjuran sukan antarabangsa menghasilkan hutang yang banyak.
* Terbaru...Kelab bola sepak bukan pasukan negeri nak tarik diri daripada Liga Malaysia. Sebelum ni pun banyak dah.
* Paling terbaru...Penganjuran Mini Olimpik dah timbul kekecohan antara Majlis Sukan Negara (MSN) dengan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).
Kesimpulannya, sukan-sukan lain pun sama juga kalau tak diuruskan dengan betul dan tak ada sikap profesional. Hasrat kerajaan boleh tercapai tapi kena tengoklah semua sudut. Lagi satu, politiking dalam sukan tu buanglah kalau nak maju. Dalam persatuan banyak orang politik jadi bos, tapi kalau betul perjalanannya tak jadi hal... Contoh bola sepak di beberapa negeri, orang politik pegang, rasanya setakat ini tak dengar kantung kering lagi...

7.27.2009

SHAHROM GEGAR BAYU

MEMANG GAGAH...SHAHROM ABDULLAH (tiga dari kiri) juara di Bayu, Baling...

ORANG lasak Malaysia, SHAHROM ABDULLAH sekali lagi cemerlang, kali ini mengatasi pencabar handalan dari Australia dan Jerman untuk muncul juara Duatlon Antarabangsa Tourism Malaysia Bayu Baling 2009 yang bermula di Dewan Tun Abdul Razak, Baling, kelmarin.
Jaguh Asia itu mendapat tentangan sengit sebelum mencatat 1 jam 27 minit 19 saat untuk menewaskan Bill Selan dari Australia yang ketinggalan hanya 26 saat di belakangnya manakala peserta Jerman, Jens Wilken di tempat ketiga dengan masa 1:29.41s. Hampir 300 peserta dalam dan luar Negara menyertai acara yang julung kali diadakan di Baling itu termasuk dari Jepun, Hong Kong, Macao, Thailand, Singapura , United Kingdom dan Amerika Syarikat. Kesemua peserta perlu melengkapkan disiplin berlari enam kilometer dan berbasikal 36 kilometer sebelum berlari semula enam kilometer.
Sementara, kategori 35 tahun ke atas wanita menyaksikan Non Rakhupan dari Thailand muncul juara manakala Cheryl Hawkins dari Amerika Syarikat di tempat kedua. Kategori wanita 20–30 tahun dimenangi peserta Hong Kong, Elain Wong Kor Yan. Pelumba Thailand, Chandarak Chaikamjon pula menewaskan bekas pelumba basikal Negara, Muhamad Hafiz Wong Abdullah dalam kategori lelaki 35–45 tahun. Hadiah-hadiah disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Azmi Che Hussin.

7.26.2009

TAK BOLEH PIMPIN, RELALAH DIPIMPIN

TAHNIAH buat DATUK ABDUL MALIK MYDIN kerana dipilih menjawat Presiden Persatuan Berbasikal Kuala Lumpur (PBKL) yang baru. Mungkin tidak ada yang menarik, siapapun jadi presiden PBKL tetap wujud. Memang benar tetapi kalau kita lihat di sebaliknya, ada sesuatu yang menarik...

Ini kerana Malik bukannya tau buat gaya bebas ke atau kuak lentang dalam kolam saja, dia juga boleh kayuh basikal. Sebelum menjadi perenang maraton secara serius, Malik adalah pelumba basikal. Tak kisahlah bagaimana dia nak uruskan persatuan yang sudah pun nampak kontroversi selepas pemilihan berlangsung. Tetapi yang menariknya tentang PBKL, tak kira dari dahulu sampai ke kepimpinan baru, penuh dengan bekas-bekas pelumba dalam senarai ahli jawatankuasanya (AJK).

Tapi...Kalau tengok persatuan lain, lebih ramai orang politik dari atlet yang memimpin. Malah, banyak persatuan yang jawatankuasanya tidak ada langsung individu berpengalaman dalam bidang atau sukan yang dipimpin. Akhirnya jadilah macam ketam mengajar anak berjalan. Banyak sebenarnya yang macam ni dalam negara kita. Tak kisahlah orang politik pun, kalau rasa nak beri sumbangan tapi bukan bidang kita, tang orang bawah tu carilah juga yang tahu selok belok tentang sukan yang kita akan pimpin, jangan nak mudah pilih kroni saja. Ini kerana, kalau ada benda kita tak tau, orang bawah boleh tolong. Kalau dah semua tak tau, macam mana, susahlah jadinya......Tengok-tengoklah.

7.21.2009

FAM KENA FIKIRKAN

DAH tamat pun, skuad bola sepak MALAYSIA akhirnya terpaksa menerima realiti apabila sekali lagi tewas kepada MANCHESTER UNITED (MU)...Aksi persahabatan kali kedua di gelanggang sama, Stadium Nasional, Bukit Jalil, Malaysia kalah 2-0 selepas kali pertama kena tipis 3-2. Tetapi saingan pertama sekurang-kurangnya dapat juga pintu gol dikawal ketat penjaga gol bertaraf dunia, Edwin Van der Sar dan Ben Foster, bolos dua gol...Bukan senang wooo!!!

Tak kisahlah...daripada kedua-dua perlawanan, kalau nak puji Malaysia melangit pun. Cuma sayang kerana tidak dapat nak dibuat ukuran prestasi skuad kebangsaan sebab pembatalan jadual MU menentang Indonesia di Jakarta gara-gara insiden bom di hotel yang bakal menjadi tempat penginapan MU. Ini kerana kita nak tengok keputusan perlawanan MU di Indonesia. Kalau Malaysia boleh bertahan, cuma tewas 3-2, tentulah kita nak tau juga prestasi pasukan negara jiran menentang MU, sama ada lagi bagus atau lebih lemah? Ia lagi penting kerana Malaysia bakal berdepan dengan pasukan berkenaan dalam banyak perlawanan, bukan lagi aksi persahabatan atau suka-suka. Kita jumpa MU entah berapa tahun sekali, bukan nak rebut kejuaraan tapi aksi ujian sahaja, sedangkan dengan negara jiran seperti Indonesia, banyak cabaran menunggu, antaranya Sukan SEA, Kejohanan Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) dan sebagainya.

Tak apalah, dah jadi macam tu, bukannya dirancang. Namun, rasanya perlawanan kedua menentang MU lebih baik diberikan kepada pasukan belia negara atau `adjust' skuad Harimau Muda, beri peluang kepada pemain-pemain muda pula. Memanglah masa suntuk kerana kita mengambil alih jadual orang lain (Indonesia) tetapi rasanya kalau nak adjust, tak mustahil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) boleh buat, sedangkan jadual ketat Liga Malaysia pun boleh diubah-ubah, ini cuma untuk sehari, tentu boleh...

Kalau beri peluang kepada pasukan pelapis, lebih bagus. Yang pertama tu oklah tetapi perlawanan kedua tu berilah kepada barisan muda negara. Kalau kita tanya apa pentingnya aksi dengan MU, antara jawapannya ialah pendedahan kepada pemain negara. Dari sudut ini, cuba fikirkan ramai juga pemain dalam skuad kebangsaan berusia 25 tahun ke atas, malah penjaring Mohd. Amri Yahyah sudah 28 tahun. Lima tahun lagi yang 25 tahun dah menjadi 30 tahun...Usia yang sudah menghampiri penamat karier bagi pemain bola sepak tanah air. Bezanya dengan pemain pelapis antara 19 hingga 23 tahun...Kalau kita ambil yang 23 tahun, lima tahun lagi baru 28, masih bertenaga untuk menghadapi aksi antarabangsa. Jadi FAM rasanya perlu juga fikirkan dari sudut ini...Fikirkanlah, mungkin lain kali boleh diketengahkan pemain-pemain pelapis ini, mana tau nak lawan Real Madrid ke, Barcelona ke pula?


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Bridal Gowns. Powered by Blogger