7.23.2007

Kata dulang paku serpih

Hendak bawa masalah negara, teliti di negeri-negeri dahulu !

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH'ARI

KUALA LUMPUR - Hukuman ke atas barisan skuad bola sepak negara yang beraksi dalam Piala Asia termasuk jurulatihnya, Norizan Bakar sudah terlaksana tetapi `panasnya’ masih berbahang sampai kini.

Perbualan mengenai aib yang ditanggung Norizan dan `bala tentera’ pimpinannya masih kedengaran di mana-mana, tidak kira kedai kopi atau di Parlimen sekalipun, malah kabinet memberi tumpuan mengenai masa depan bola sepak negara itu apabila meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan laporan mengenainya.

Sebenarnya apakah persoalan? Apakah kegagalan Malaysia layak ke suku akhir atau kekalahan besar 5-1 kepada China, dibelasah 5-0 oleh Uzbekistan dan tewas 2-0 dengan Iran dalam perlawanan Kumpulan C Piala Asia menjadi tumpuan perbincangan.

Jika kegagalan ke suku akhir diambil kira, apakah kita sedar di mana kedudukan Malaysia dibandingkan pasukan-pasukan bertanding yang bertaraf dunia, memang ibarat `langit dengan bumi’ jauhnya. Tetapi sekiranya jumlah jaringan yang bolos dijadikan alasan, mungkin boleh diterima kerana pasukan-pasukan Asia Tenggara dari kumpulan lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam mampu memberi tentangan hebat kepada lawan lebih handal, kenapa tidak Malaysia?

Indonesia, Thailand dan Vietnam adalah pasukan dari rantau yang sama, tewas tetapi keupayaan untuk mempamerkan aksi menghiburkan penyokong masing-masing sebenarnya tidak ada kepada pasukan negara. Mungkin itu bezanya. Kita sebagaimana negara lain dalam Asia Tenggara perlu menerima hakikat kita setakuk di belakang China, Uzbekistan, Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi.

Bagaimanapun, ramai yang tidak memikirkannya secara mendalam, malah di Parlimen, isu bola sepak tiba-tiba menarik perhatian, menenggelamkan seketika perkara-perkara lain yang berbangkit. Hebatnya bola sepak, dari kalangan golongan berpendapatan rendah hinggalah ke ahli parlimen dan menteri, ada sahaja yang dibangkitkan.

Memang ia wajar diperbahaskan untuk kepentingan bersama tetapi jika sekadar hendak `menghentam’ tanpa sebarang rumusan atau idea yang boleh membangunkan bola sepak negara, ia sesuatu cukup menyedihkan.

Bayangkan, kalah sahaja Malaysia, berapi-api hujah ahli parlimen membidas prestasi skuad bola sepak kebangsaan tetapi sebelum perlawanan bermula, tidak ada siapa pun membangkitkan apa-apa perkara mengenai pasukan berkenaan. Tidak ada siapapun yang membangkitkan tentang pemilihan barisan pemain dan jurulatih, sistem latihan dan pembangunan sukan berkenaan, malah soal kedudukan FAM itu sendiri.

Kata-kata seperti pemain skuad bola sepak kebangsaan `pondan’ dan cadangan supaya menentang pasukan wanita negara ditimbulkan di Parlimen. Benarkah dakwaan sinis itu dan sesuaikah diterima pasukan negara. Apakah relevannya kata-kata dan cadangan seumpama itu.

Kejayaan skuad wanita tidak boleh diperlekehkan walaupun mencatat kejayaan hanya pada Sukan Arafura jika dibandingkan komitmen lebih besar di Piala Asia. Mana sama kalau kita bandingan Sukan Asia dengan Sukan Olimpik, begitu juga dengan komitmen antara skuad kebangsaan dan pasukan wanita, cukup berbeza. Apa pun biarlah kedua-duanya dengan komitmen masing-masing.

Peliknya, isu seumpama itu menarik perharian. Sebaliknya, tidak ada ahli-ahli parlimen yang memperjuangkan soal pembangunan akar umbi. Mereka perlu ingat, jika kegagalan atau kejayaan dalam pelajaran boleh dikatakan bermula dari rumah, begitu juga dengan bola sepak yang bermula dari sekolah, diikuti daerah iaitu termasuk kawasan ahli-ahli parlimen berkenaan sebelum ke peringkat negeri dan negara. Mungkin apabila gagal skuad kebangsaan, kita turut terkena tempiasnya kerana berpunca alasan tersendiri seperti tidak ada penghasilan bakat di peringkat akar umbi. Inilah yang perlu dijenguk oleh ahli-ahli parlimen.

Pada masa hadapan diharap sidang Parlimen terus hangat dengan isu-isu bola sepak tetapi yang berkaitan pembangunan sukan berkenaan termasuk program akar umbi. Alangkah manisnya, jika sebelum melangkah ke isu negara, peringkat akar umbi atau negeri dipantau terlebih dahulu.

Sebagai contoh, terbaru akhbar melaporkan tentang pemain-pemain Sarawak tidak mendapat gaji dan satu perlawanan bola sepak persahabatan terpaksa diadakan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kenapa soal-soal sebegini tidak dibamgkitkan?

Itu cuma kisah dari Bumi Kenyalang yang tersebar, mungkin banyak lagi negeri yang persatuan bola sepaknya diterajui sama ada menteri besar atau ketua menteri mempunyai nasib sama seperti Sarawak?

Sepatutnya perkara-perkara sebegini dibawa ke peringkat atasan kerana sebahagian daripada faktor yang memungkinkan ia menjadi wabak sehingga menjejaskan usaha membangunkan bola sepak tanah air.

Apa tidaknya, kalau banyak masalah, siapa hendak bermain biarpun handal seperti Ronaldinho sekalipun. Kesimpulannya, apa sahaja proses berkaitan mengembalikan kecemerlangan skuad negara perlu dilihat secara menyeluruh, tidak kira di mana sahaja.

7.18.2007

Jangan menangguk di air keruh

Isu peletakan jawatan pemimpin FAM


Oleh ZAINU’L AZHAR ASH’ARI

KUALA LUMPUR – Seluruh negara terus `bergegar,’ kali ini bukan lagi disebabkan keaiban yang dicipta skuad bola sepak kebangsaan sebagaimana dipamerkan pada Kejohanan Piala Asia tetapi isu peletakan jawatan `beramai-ramai’ pemimpin penting dalam Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Ternyata apa pun keputusan drastik itu, kesannya adalah di sebalik kekalahan 5-1 kepada China dibelasah 5-0 oleh Uzbekistan pada perlawanan Kumpulan C kejohanan tersebut yang memberi kesan cukup mendalam sehingga mendorong Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan anggota bebas, Khairy Jamaluddin melepaskan jawatan masing-masing.

Ini mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak yang namanya pencinta bola sepak tanah air. Ada pro dan kontranya di sebalik pengunduran tokoh-tokoh yang tidak dinafikan banyak berjasa kepada bola sepak negara walaupun prestasi skuad kebangsaan semakin merudum.

Pada mulanya, tumpuan kepada skuad kebangsaan, beralih ke pengunduran nama-nama besar dalam FAM dan tentulah kemudiannya isu pengganti atau kepimpinan baru bakal menimbulkan spekulasi atau tajuk persoalan dalam memperkatakan kaitan badan induk itu dengan memulihkan bola sepak negara.

Begitulah nasib dan tanggungjawab sesiapa sahaja yang menduduki `kerusi panas’ dalam FAM. Kecuali Ibrahim dan Khairy yang dilantik, Tengku Abdullah serta Ibrahim dipilih dalam Mesyuarat Agung FAM oleh ahli-ahli majlis badan induk berkenaan yang terdiri daripada wakil persatuan bola sepak negeri dan kelab-kelab gabungan.

Jadi, lamanya tempoh seseorang pemimpin itu sebenarnya atas kehendak negeri-negeri. Kenapa tidak ada perubahan sebelum ini sedangkan apabila berlaku sesuatu insiden memalukan, soal pengunduran pemimpin dalam FAM seringkali ditimbulkan walaupun dalam beberapa aspek, ada mengatakan bahawa mereka yang berkenaan perlu berani untuk mengundurkan diri.

Bagi isu Tengku Abdullah, beliau telah mengambil inisiatif untuk mengundurkan diri sebelum ini sebanyak dua kali tetapi ada pihak yang memujuk beliau kembali ke FAM. Kata orang, selagi keringat ditagih, pasti tenaga dibanting. Sehubungan itu, tidak perlu soal kepimpinannya di persoalkan sekiranya kita sendiri yang membuat keputusan.

Malah, Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah sendiri menjelaskan bahawa beliau bukan pengecut untuk lari daripada tanggungjawab secara melepaskan jawatan dan berjanji sanggup melakukannya jika ada pengganti yang benar-benar berwibawa. Soalnya, apakah pemilihan jawatankuasa FAM kali ini, ada yang benar-benar berani memikul tanggungjawab atau amanah besar itu?

Dalam memperkatakan soal siapa pengganti atau rombakan besar dalam FAM, kita tidak dapat lari daripada mengetengahkan individu tertentu dalam usaha memulihkan kembali bola sepak negara. Namun, apa yang dibimbangi ialah, politiking dalam mencalonkan tokoh-tokoh berkenaan.

Jika diikutkan kata orang tua-tua, patah tumbuh, yang hilang berganti, tetapi apakah pengganti dicari benar-benar berkualiti. Sehubungan itu, pengganti perlu dicari dengan penuh teliti. Peliknya, pencarian seolah-olah begitu mudah sekali, seolah-olah senang untuk meletakan sesiapa sahaja di bangku `panas’ itu.

Belum pengumuman peletakan jawatan dibuat oleh Tengku Abdullah, sebaik sahaja skuad negara terus dimalukan, ada pihak yang melihat supaya FAM dirombak. Mungkin bertepatan alasan tersebut selepas kegagalan FAM setelah sekian lama tetapi yang peliknya, nama-nama individu tertentu sudah diuar-uarkan sebagai pemimpin badan induk bola sepak negara itu.

Antaranya, nama Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Najib Tun Razak dicadangkan untuk menduduki kerusi `panas’ FAM itu sedangkan apa yang kita ketahui, beliau pernah menolak permintaan dari ramai pihak untuk berbuat demikian.

Sepatutnya kita menghormati pendirian Najib selaku TPM yang tentunya mempunyai banyak tanggungjawab terhadap negara. Cuma yang pelik, kenapa ada pihak yang beria-ia melihat beliau sungguh berkesan dalam agenda FAM? Malah, Najib sendiri bukanlah daripada kalangan pemimpin bola sepak dalam persatuan yang bergabung dengan badan induk tersebut. Seharusnya tidak ada pengaruh dalam memastikan penglibatan seseorang individu, apatah lagi mereka yang tidak menunjukan minat untuk menerajui persatuan berkenaan. Kita sedia maklum, walaupun pernah dipujuk, Najib telah menolaknya sejak dari awal.

Oleh itu, biarlah keputusan Najib datangnya daripada beliau, bukannya paksaan, pujukan atau pengaruh mana-mana pihak. Ini kerana penglibatan disebabkan pengaruh tidak membawa apa-apa makna, cuma memberi keuntungan pihak berkepentingan termasuk politik, malah gagal untuk kekal lama.

Sehubungan itu, apa sahaja cadangan dalam `melonjak’ nama seseorang tokoh perlu diambilkira, kerana dikhuatiri mempunyai kepentingan pihak-pihak tertentu yang mungkin `menangguk di air keruh.’ Seseorang pemimpin biarlah yang tulen. Kita tidak mahu hanya sekadar pemimpin sedangkan kuasa di pihak lain.

Hakikat itu kerana, dalam kancah bola sepak tanah air, salah satu faktor pemusnah ialah politiking yang menjejaskan mutu bola sepak negara. Sebenarnya pengaruh politik perlu dalam apa sahaja bidang sukan tetapi jika banyak politiking, ia sudah pasti menjejaskan masa depannya.

Cuba lihat persatuan-persatuan negeri, bermula dari Perlis hingga ke Sabah, majoritinya diterajui oleh menteri besar atau ketua-ketua menteri sama ada dilantik atau secara automatik memegang tampuk di negeri masing-masing. Dari satu sudut, memang perlu kerana pemimpin-pemimpin politik berkenaan dikatakan berupaya menjana sumber kewangan untuk tabung persatuan menerusi pengaruh kuasa untuk mendapatkan penajaan.

Malangnya, bukan wang mengalir masuk bak sungai yang mengalir deras tetapi kantung persatuan kontang sehingga setiap tahun timbul cerita-cerita mengenai kegagalan pihak negeri untuk menjelaskan gaji pemain.

Inilah masalah yang ditakuti berlaku dalam pengurusan bola sepak. Malah, lebih malang lagi, terdapat pemimpin yang mencampuri urusan pasukan bola sepak termasuk mencatur susunan pemain sedangkan soal teknikal seharusnya dipertanggungjawabkan ke atas jurulatih atau pegawai pasukan.

Khabar terbaru, Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim kononnya mengintai jawatan nombor dua dalam FAM. Senario ini memerlukan penelitian di kalangan mereka-mereka yang berkaitan degan pemgurusan badan bola sepak tersebut. Setiap cadangan perlu diteliti secara mendalam dengan mengambilkira faktor individu terbabit.

Shahidan, selain menteri besar, beliau memegang jawatan sebagai presiden dengan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA), Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Kabbadi Malaysia (KAM).

Apakah wajar bagi beliau menduduki kerusi `panas’ FAM. Mungkin ada kebenarannya beliau boleh memimpin FAM walaupun mempunyai banyak tanggungjawab sebagai ketua negeri dan pemimpin persatuan lain, tetapi perlulah dengan alasan menarik atau rekod pencapaian yang memberangsangkan dalam menerajui badan berkenaan. Cuma, di peringkat negeri, Shahidan boleh dikatakan agak berjaya selepas membawa kejayaan kepada Perlis menjulang Piala Malaysia, satu-satunya piala berprestij dalam kejohanan bola sepak tempatan. Boleh jadi, beliau bakal berupaya memenuhi impian menerajui FAM selepas melakar beberapa lagi pencapaian menarik menerusi idea atau pengalaman menerajui persatuan kebangsaan, mungkin mengambil sedikit masa.

Bagaimanapun, kita patut mengangkat topi kepada Shahidan, seorang yang secara berterus terang dalam memperkatakan sesuatu termasuk menawarkan diri dalam merebut apa-apa jawatan yang diidamkan, bukan menerusi pengaruh seseorang atau proksi .

Satu lagi faktor, kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman Said iaitu pegawai persatuan bola sepak negeri yang memegang jawatan untuk tempoh terlalu lama tanpa apa-apa sumbangan perlu meletakan jawatan bagi memberi laluan kepada tenaga baru, membuktikan bahawa kemerosotan kepimpinan bukan sahaja di FAM, malah di peringkat negeri. Ini berkaitan dengan masalah politiking di negeri-negeri terbabit.

Pada masa ini, ramai yang mahu merasai `nikmat’ kerusi nombor dua FAM itu. Seharusnya mereka tampil menawarkan diri untuk dinilai. Malah, jika ada yang mahu mencabar jawatan Presiden FAM sekalipun, jangan berselindung sebagaimana yang pernah berlaku. Sebelum ini, ramai yang berminat untuk bertanding tetapi apabila sampai hari pengundian, jawatan tersebut tidak ditandingi.

Biar apa pun alasannya, sebenarnya keputusan telah dibuat oleh kita. Bagaimana corak sekalipun, kita perlu menerimanya, jangan apabila berlaku sesuatu yang pahit, ketika itu baru hendak menuding jari. Atau, masih belum terlambat untuk mengubah kedudukan asalkan jangan banyak politiking.

7.17.2007

Ibrahim, Khairy ikut jejak

ISU peletakan jawatan kepimpinan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kian panas apabila Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad dan ahli bebas, Khairy Jamaluddin mengikut jejak langkah Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah meninggalkan badan induk itu.

Ibrahim dan Khairy melepaskan jawatan masing-masing selepas Tengku Abdullah meletakan jawatan sebagai Timbalan Presiden FAM, sekaligus meninggalkan tanda tanya berapa ramai lagi yang bakal menyusul?

7.16.2007

FAM buat rayuan


KUALA LUMPUR - Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan merayu Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya menarik balik peletakan jawatannya sebagai Timbalan Presiden FAM.
Naib Presiden FAM, Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, berkata, ini kerana kepimpinan Tengku Abdullah masih diperlukan dalam badan induk tersebut.
Raja Ahmad berkata, beliau terkejut dengan keputusan yang diambil oleh Tengku Abdullah dan percaya ia mempunyai kaitan dengan kekecewaan beliau disebabkan persembahan buruk skuad kebangsaan dalam Kejohanan Piala Asia.

Tengku Abdullah letak jawatan


KUALA LUMPUR - Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengosongkan `kerusi panas' didudukinya semalam.
Dalam surat perletakan jawatannya yang dihantar kepada Setiausaha Agung FAM, Datuk Seri Dr. Ibrahim Saad, Tengku Abdullah menyatakan bahawa beliau melepaskan kesemua jawatan dalam badan induk itu.
Walaupun tidak memberi alasan mengenai keputusan tersebut, ia dipercayai berkaitan dengan persembahan buruk skuad negara dalam Kumpulan C, Kejohanan Piala Asia.
Malaysia tewas 5-1 kepada China sebelum dibelasah 5-0 oleh Uzbekistan.


JAWATAN DALAM FAM, AFC, FIFA



  • Timbalan Presiden FAM
  • Pengerusi Jawatankuasa Teknikal FAM
  • Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia
  • Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif FAM
  • Naib Presiden Konfederasi Bolasepak Asia (AFC)
  • Ahli Jawatankuasa Teknikal Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA)






5-0 hadiah 50 tahun merdeka

KUALA LUMPUR - Kekalahan terbaru 5-0 kepada Uzbekistan sememangnya memalukan skuad kebangsaan yang keupayaannya`bagai langit dengan bumi' berbanding pasukan-pasukan dalam Kumpulan C Kejohanan Piala Asia yang berlangsung di sini.

Namun, dari segi angka kekalahan yang dicatat, ia secara kebetulan hampir persamaannya dengan ulangtahun kemerdekaan Malaysia ke-50. Apakah 5-0 hadiah pemain=pemain negara sempena kemerdekaan?

Kalau benar, ia adalah hadiah kekalahan yang cukup mengecewakan, apatah lagi sebelum itu, Malaysia turut dibelasah China 5-1.


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Bridal Gowns. Powered by Blogger