7.23.2007

Kata dulang paku serpih

Hendak bawa masalah negara, teliti di negeri-negeri dahulu !

Oleh ZAINU’L AZHAR ASH'ARI

KUALA LUMPUR - Hukuman ke atas barisan skuad bola sepak negara yang beraksi dalam Piala Asia termasuk jurulatihnya, Norizan Bakar sudah terlaksana tetapi `panasnya’ masih berbahang sampai kini.

Perbualan mengenai aib yang ditanggung Norizan dan `bala tentera’ pimpinannya masih kedengaran di mana-mana, tidak kira kedai kopi atau di Parlimen sekalipun, malah kabinet memberi tumpuan mengenai masa depan bola sepak negara itu apabila meminta Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengemukakan laporan mengenainya.

Sebenarnya apakah persoalan? Apakah kegagalan Malaysia layak ke suku akhir atau kekalahan besar 5-1 kepada China, dibelasah 5-0 oleh Uzbekistan dan tewas 2-0 dengan Iran dalam perlawanan Kumpulan C Piala Asia menjadi tumpuan perbincangan.

Jika kegagalan ke suku akhir diambil kira, apakah kita sedar di mana kedudukan Malaysia dibandingkan pasukan-pasukan bertanding yang bertaraf dunia, memang ibarat `langit dengan bumi’ jauhnya. Tetapi sekiranya jumlah jaringan yang bolos dijadikan alasan, mungkin boleh diterima kerana pasukan-pasukan Asia Tenggara dari kumpulan lain seperti Indonesia, Thailand dan Vietnam mampu memberi tentangan hebat kepada lawan lebih handal, kenapa tidak Malaysia?

Indonesia, Thailand dan Vietnam adalah pasukan dari rantau yang sama, tewas tetapi keupayaan untuk mempamerkan aksi menghiburkan penyokong masing-masing sebenarnya tidak ada kepada pasukan negara. Mungkin itu bezanya. Kita sebagaimana negara lain dalam Asia Tenggara perlu menerima hakikat kita setakuk di belakang China, Uzbekistan, Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi.

Bagaimanapun, ramai yang tidak memikirkannya secara mendalam, malah di Parlimen, isu bola sepak tiba-tiba menarik perhatian, menenggelamkan seketika perkara-perkara lain yang berbangkit. Hebatnya bola sepak, dari kalangan golongan berpendapatan rendah hinggalah ke ahli parlimen dan menteri, ada sahaja yang dibangkitkan.

Memang ia wajar diperbahaskan untuk kepentingan bersama tetapi jika sekadar hendak `menghentam’ tanpa sebarang rumusan atau idea yang boleh membangunkan bola sepak negara, ia sesuatu cukup menyedihkan.

Bayangkan, kalah sahaja Malaysia, berapi-api hujah ahli parlimen membidas prestasi skuad bola sepak kebangsaan tetapi sebelum perlawanan bermula, tidak ada siapa pun membangkitkan apa-apa perkara mengenai pasukan berkenaan. Tidak ada siapapun yang membangkitkan tentang pemilihan barisan pemain dan jurulatih, sistem latihan dan pembangunan sukan berkenaan, malah soal kedudukan FAM itu sendiri.

Kata-kata seperti pemain skuad bola sepak kebangsaan `pondan’ dan cadangan supaya menentang pasukan wanita negara ditimbulkan di Parlimen. Benarkah dakwaan sinis itu dan sesuaikah diterima pasukan negara. Apakah relevannya kata-kata dan cadangan seumpama itu.

Kejayaan skuad wanita tidak boleh diperlekehkan walaupun mencatat kejayaan hanya pada Sukan Arafura jika dibandingkan komitmen lebih besar di Piala Asia. Mana sama kalau kita bandingan Sukan Asia dengan Sukan Olimpik, begitu juga dengan komitmen antara skuad kebangsaan dan pasukan wanita, cukup berbeza. Apa pun biarlah kedua-duanya dengan komitmen masing-masing.

Peliknya, isu seumpama itu menarik perharian. Sebaliknya, tidak ada ahli-ahli parlimen yang memperjuangkan soal pembangunan akar umbi. Mereka perlu ingat, jika kegagalan atau kejayaan dalam pelajaran boleh dikatakan bermula dari rumah, begitu juga dengan bola sepak yang bermula dari sekolah, diikuti daerah iaitu termasuk kawasan ahli-ahli parlimen berkenaan sebelum ke peringkat negeri dan negara. Mungkin apabila gagal skuad kebangsaan, kita turut terkena tempiasnya kerana berpunca alasan tersendiri seperti tidak ada penghasilan bakat di peringkat akar umbi. Inilah yang perlu dijenguk oleh ahli-ahli parlimen.

Pada masa hadapan diharap sidang Parlimen terus hangat dengan isu-isu bola sepak tetapi yang berkaitan pembangunan sukan berkenaan termasuk program akar umbi. Alangkah manisnya, jika sebelum melangkah ke isu negara, peringkat akar umbi atau negeri dipantau terlebih dahulu.

Sebagai contoh, terbaru akhbar melaporkan tentang pemain-pemain Sarawak tidak mendapat gaji dan satu perlawanan bola sepak persahabatan terpaksa diadakan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kenapa soal-soal sebegini tidak dibamgkitkan?

Itu cuma kisah dari Bumi Kenyalang yang tersebar, mungkin banyak lagi negeri yang persatuan bola sepaknya diterajui sama ada menteri besar atau ketua menteri mempunyai nasib sama seperti Sarawak?

Sepatutnya perkara-perkara sebegini dibawa ke peringkat atasan kerana sebahagian daripada faktor yang memungkinkan ia menjadi wabak sehingga menjejaskan usaha membangunkan bola sepak tanah air.

Apa tidaknya, kalau banyak masalah, siapa hendak bermain biarpun handal seperti Ronaldinho sekalipun. Kesimpulannya, apa sahaja proses berkaitan mengembalikan kecemerlangan skuad negara perlu dilihat secara menyeluruh, tidak kira di mana sahaja.

0 comments:


Free Blogger Templates by Isnaini Dot Com and Bridal Gowns. Powered by Blogger